Mazhab-mazhab Kristian di Sarawak

mcdougall
Francis Thomas McDougall

Kristian telah mula bertapak di Sarawak sejak tahun 1848 dengan kedatangan Francis McDougall untuk menyebarkan agama Kristian. Pada awal kedatangannya, beliau menyasarkan penyebaran Kristian dalam kalangan bangsa Melayu namun akhirnya gagal seterusnya menyasarkan bangsa peribumi yang lain.

Walaupun pada awalnya Francis McDougall merupakan seorang Kristian yang bermazhab Anglican, namun atas toleransi sesama Kristian, akhirnya mazhab-mazhab Kristian yang lain turut bertapak di Sarawak. Sejak pada itu, mazhab agama Kristian di Sarawak mula bertambah dan tersebar.

Antara mazhab utama Kristian yang tedapat di Sarawak adalah Anglican, Roman Katolik, Methodist, Sidang Injil Borneo (SIB), Seven Day Advemtist dan The Salvation Army. Ini adalah merupakan mazhab-mazhab yang utama yang telah disebutkan, namun masih terdapat banyak lagi mazhab lain yang tidak dapat dipastikan bilangan sebenarnya.

Mazhab Anglikan adalah merupakan mazhab yang telah dibawa masuk oleh Francis McDougall sendiri yang telah datang ke Sarawak pada tahun 1848 atas jemputan James Brooke. Francis McDougall adalah merupakan pengasas kepada mazhab Kristian Anglikan di Sarawak. Beliau merupakan seorang doktor dan jawatan ini telah digunakan dengan sebaik-baiknya bagi mengambil hati penduduk di Sarawak bagi menyebarkan agama Kristian.

Dalam menyebarkan Kristian Anglikan di Sarawak, banyak usaha yang telah dilakukan oleh beliau. Antaranya adalah menubuhkan Borneo Church Mission iaitu gerakan missionaries yang pertama yang telah ditubuhkan. Gerakan ini seperti yang kita tahu adalah untuk menyebarkan Kristian dalam kalangan penduduk di Sarawak. Selain itu, Francis McDougall juga turut membina sekolah-sekolah, gereja-gereja dan dispensari.

Sasaran awal Francis McDougall adalah orang Melayu. Dengan itu, beliau telah menjemputseorang Melayu Kristian dari Singapura untuk berdakwah kepada orang-orang Melayu yang tinggal di Sarawak pada waktu itu. Dakwah mereka kepada akhirnya menuju kegagalan apabila berlaku tentangan daripada pemimpin dan masyarakat Melayu. Dengan kegagalan ini akhirnya McDougall mengalihkan sasaran kepada penduduk pribumi dan orang Cina. Usaha beliau ini akhirnya berjaya. Pengikut mazhab Anglikan kini dianggarkan seramai 200,000 orang.

Mazhab yang seterusnya yang ada di Sarawak adalah Roman Katolik. Roman Katolik mula tersebar di Sarawak setelah kehadiran Father Edward Dunn pada 1881 atas jemputan keluarga Brooke setelah usaha Francis McDougall untuk menyampaikan Kristian gagal. Father Edward Dunn adalah merupakan seorang tokoh missionaries mazhab Roman Katolik.

Father Edward Dunn ini juga adalah merupakan seorang yang berpengaruh dan beliau berkemahiran dalam bidang pertanian. Kemahiran ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh beliau bagi menyebarkan agama Kristian dalam kalangan bangsa Iban di pedalaman. Kejayaan beliau dalam menyebarkan Kristian mazhab Roman Katolik adalah disebabkan oleh sokongan keluarga Brooke terhadap penyebaran agama Kristian tidak mengira aliran mazhab, walaupun pada dasarnya keluarga Brooke sendiri adalah pengikut mazhab Anglikan.

Keluarga Brooke turut memberi jaminan keselamatan kepada para missionaries serta emnjamin bahawa tidak akan ada tentangan daripada pemimpin Islam terhadap penyebaran agama Kristian. Namun, tentangan dari pimpinan Islam tetap berlaku terhadap penyebaran agama Kristian yang dilakukan oleh pihak missionaries.

Ketika zaman penyebaran agama Kristian oleh Father Edward Dunn, beliau telah Berjaya membuka beberapa sekolah missionaries. Antaranya adalah Sacred Heart di Sibu, St Teresa dan St Joseph di Kuching. Sekolah-sekolah ini masih ada hingga sekarang.

Seterusnya adalah Mazhab Sidang Injil Borneo (SIB). Mazhab ini telah diasaskan di Melbourne pada tahun 1928 dengan nama Borneo Evangelical Mission (BEM). Sasaran awal mazhab ini pada awalnya adalah masyarakat Murut (Lun Bawang) dan Kelabit.

Borneo Evangelical Mission ini menggalas tugas untuk memberi latihan kepada masyarakat tempatan untuk menjadi missionaries serta clergymendi gereja-gereja. Mereka ini telah berjaya menubuhkan sebuah sekolah pengajaran Bible di Lawas yang berfungsi sebagai pusat latihan para paderi serta merupakan pusat terjemahan Bible kedalam bahasa-bahasa yang ada di Borneo.

Borneo Evangelical Mission merupakan gerakan Evangelical yang terbesar di Malaysia dengan anggaran ahli seramai 500,000 orang di seluruh Malaysia.

Mazhab Kristian seterusnya yang ada di Sarawak adalah mazhab Methodist. Sejarah awal mazhab ini bermula pada tahun 1900. Mazhab ini telah dibawa ke Sarawak oleh seorang pendatang Cina. Tokoh utama bagi mazhab ini adalah Wong Nai Siong. Mazhab ini di Sarawak, lebih tertumpu di Sibu dimana penduduknya adalah majority Cina Foochow. Mazhab ini juga ada komuniti di Setiawan, Perak.

Mazhab lain yang turut ada di Sarawak adalah Seventh Day Adventist. Missionaries bagi mazhab ini mula tiba di Malaysia pada tahun 1911. Abraham La Rues, antara nama besar dalam gerakan evangelst mazhab Seventh Day Adventist, telah menapak ke Sarawak pada tahun 1905. Pemimpin Sarawak pada masa itu sangat menentang penyebaran agama Kristian di Sarawak. Oleh sebab itu, dua orang bangsa Cina yang berasal dari Singapura telah menetap di Sarawak dan menjalankan aktiviti penyebaran agama Kristian mereka.

Aktiviti penyebaran agama Kristian ini menjadi semakin aktif dan dibuat secara terbuka pada athun 1925 hak kebebasan beragama di isytiharkan. Mereka turut menyewa beberapa buah bangunan untuk dijadikan sebagai tempat untuk bermesyuarat serta menubuhkan beberapa buah sekolah.

Statistik pada tahun 2003 menunjukkan terdapat 82 gereja telah dibina di bawah mazhab Seventh Day Adventist. Dianggarkan keahlian bagi mazhab ini adalah seramai 14,500 orang.

Mazhab yang terakhir adalah mazhab The Salvation Army. sejarah bermulanya The Salvation Army di Sarawak adalah pada tahun 1941-1945 yang merupakan tahun peperangan. Peperangan ini menyebabkan ketidakteraturan secara besar-besaran dari banyak segi. Ramai penduduk yang dijangkiti penyakit kurang vitamin. Kerana inilah ditubuhkan The Salvation Army.

Pertubuhan The Salvation Army pada hari ini adalah merupakan organisasi Kristian yang mempunyai misi secara spiritual dan praktikal. Perkhidmatan sosial mereka disalurkan kepada sesiapa saja yang memerlukan tidak kiran agama atau bangsa.

Bila disebut The Salvation Army, tidak banyak aktiviti evangelist yang dikaitkan dengan mereka. Di Malaysia, telah direkodkan sebanyak 10 gereja mazhab ini. Program-program yang mereka sering adakan adalah program berkaitan kanak-kanak, remaja, wanita dan kekeluargaan.

oleh
Norlia bt Salleh
Unit Kajian Evangelism IKB

Sejarah dan perkembangan gerakan kristianisasi di Sarawak

Sir_James_Brooke_1847_by_Francis_Grant

Gerakan kristianisasi di Sarawak telah bermula sejak tahun 1848 bahkan lebih awal, dengan kedatangan Francis Thomas Mcdougall di atas jemputan James Brooke. Francis Mcdougall merupakan seorang doktor perubatan yang bermazhab Anglican dan merupakan pengasas bagi Mazhab Anglican di Sarawak. Beliau memulakan aktiviti missionaries pertamanya di Sarawak dengan menubuhkan Borneo Church Mission.

Sasaran awal bagi gerakan ini adalah orang-orang Melayu di Sarawak. Francis Mcdougall merupakan orang pertama yang membuka sekolah formal bagi anak-anak Melayu sebagai cara untuk memudahkan dakyah Kristianisasi terhadap anak-anak Melayu. Beliau telah membina sekolah-sekolah, gereja-gereja dan dispensari bagi menyebarkan agama Kristian dalam kalangan masyarakat Sarawak.

Bagi tujuan untuk menggencarkan lagi penyebaran agama Kristian dalam kalangan masyarakat Melayu di Sarawak, Francis Mcdougall telah menjemput Melayu Kristian dari Singapura untuk berdakyah kepada orang Melayu. Namun begitu, usahanya gagal apabila pemimpin Melayu dan masyarakat Melayu menentang tindakan tersebut. Setelah gagal dengan usaha tersebut, Francis Mcdougall meneruskan usaha dakyahnya dengan membuka sekolah untuk anak-anak Melayu serta menyebarkan buku panduan agama Kristian dalam bahasa Melayu kepada masyarakat.

Setelah usaha kristianisasi terhadap orang Melayu menemui kegagalan, Francis Mcdougall seterusnya mengalih sasaran kepada masyarakat pribumi dan Cina di Sarawak. Usaha penyebaran agama Kristian oleh beliau dalam kalangan masyarakat tersebut membuahkan hasil. Beliau menggunakan sebaik-baiknya kelebihan beliau sebagai doktor perubatan bagi menarik minat masyarakat tempatan untuk menerima Kristian dengan menubuhkan klinik perubatan selain mengambil anak angkat serta mendamaikan pergaduhan yang berlaku dalam masyarakat di Sarawak.

Pada tahun 1881, Charles Brooke telah menjemput tokoh kristianisasi yang daripada mazhab Katolik ke Sarawak setelah kegagalan Missionaries Anglican menyebarkan dakyah ke bahagian lain di Sarawak. Father Edward Dunn, menjadi antara nama besar yang berjaya menyebarkan agama Kristian di Sarawak. Beliau merupakan salah seorang tokoh missionaries yang bermazhab Katolik. Beliau sangat berkemahiran dalam bidang pertanian dan kelebihan ini dimanfaatkan oleh beliau semaksima mungkin untuk menarik minat masyarakat Iban di pedalaman terhadap agama Kristian. Aktiviti kristianisasi seterusnya tertumpu di bahagian kedua sarawak iaitu di Sarikei dan juga Saribas.

Keluarga Brooke sangat menyokong dan memberi dorongan terhadap penyebaran agama Kristian di setiap bahagian di Sarawak tanpa mengira denominasi mazhab, walaupun keluarga mereka sendiri merupakan Kristian yang bermazhab Anglican. Keluarga Brooke pada ketika itu memberi jaminan terhadap keselamatan missionaries Kristian serta meyakinkan para missionaries bahawa tidak akan ada tentangan daripada pemimpin Islam terhadap usaha kristianisasi yang mereka lakukan. Di samping menyebarkan agama Kristian dalam masyarakat, Father Edward Dunn juga telah berjaya menubuhkan beberapa buah sekolah missionaries di Sarawak. Antaranya, Sacred Heart di Sibu, St Teresa dan St Joseph di Kuching.

Antara mazhab Kristian utama lain yang terdapat di Sarawak, antaranya adalah Gereja Methodist Sarawak, Sevent-Day Adventist dan juga SIB (Sidang Injil Borneo).

Borneo Evangelical Mission (BEM) ataupun Sidang Injil Borneo (SIB) telah diasaskan di Melbourne pada tahun 1928. Sasaran awal gerakan ini adalah masyarakat Murut (Lun Bawang) dan Kelabit. SIB antara mazhab Kristian yang terbesar di Malaysia dengan anggaran keahlian seramai 500 000 orang di seluruh Malaysia. Pertubuhan ini memberi latihan kepada masyarakat tempatan untuk menjadi missionaries serta ‘Clergymen’  gereja. Di Lawas, telah ditubuhkan sebuah sekolah pengajaran Bible dan ia berfungsi sebagai pusat latihan para paderi serta terjemahan Bible ke dalam bahasa Borneo.

Ecumenism ataupun penyatuan gereja-gereja sangat popular di Sarawak. Penyatuan ini telah dilakukan pada tahun 1991. Antara mazhab yang menyertai Ecumenism adalah Anglican, Roman Katolik, Methodist, SDA, SIB dan The Salvation Army. Penyatuan gereja-gereja ini telah membentuk Sarawak Ecumenical Centre yang menjadi suatu badan yang mengatur serta menyelaraskan aktiviti missionaries di Sarawak.

Pertubuhan-pertubuhan Kristian semakin berkembang di Sarawak selepas merdeka. Kira-kira 50 pertubuhan ataupun mazhab Kristian telah ditubuhkan di Sarawak selepas merdeka. Hasil perkembangan dan usaha gigih mereka telah berjaya merubah demografi Sarawak menjadi satu-satunya negeri yang majoriti beragama Kristian.

Selain itu juga, pelbagai purtubuhan missionaries antarabangsa menjalankan aktiviti kristianisasi secara pesat di bumi Sarawak antaranya Church of Latter-Day Saint (mormon), World Church Mission (WCM), Mill Hills Society, dan banyak lagi.

Usaha mereka yang terancang ini perlu menjadi perhatian masyarakat Islam di Sarawak agar kita semua sedar akan ancaman ini kepada masyarakat Islam di Sarawak.

Norlia Salleh
Borneo Research Institute (BRI)

Rujukan: Wan Kamal Mujani & Noranizah Yusuf,Islam dan Missionari di Sarawak: Kesan terhadap Pendidikan pada Zaman Crown Colony, 1841-1941